Sunday 18 November 2012

BULAN BAHASA

Bulan Bahasa Kebangsaan Agenda Nasional

Abang Patdeli Abang Muhi
Mungkin ada yang menganggap BBK yang disambut dalam bulan Oktober saban tahun sebagai suatu ritual semata-mata. Barangkali ada juga yang melihatnya sebagai urusan dan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja, manakala agensi kerajaan yang lain pula tidak perlu berasa bahawa menyemarakkan sambutan BBK itu juga tanggungjawab moral dan sosial mereka. Tidak kurang juga ada kalangan yang tidak ambil tahu langsung akan adanya sambutan BBK. Pada masa yang sama, ada kalangan yang sangat prihatin untuk ikut serta meraikan dan merancakkan sambutan BBK setiap kali acara nasional itu diadakan.
Sesungguhnya, BBK merupakan salah satu daripada sekian banyak agenda nasional kerajaan, khususnya dalam aspek memperkukuh proses pembinaan negara – bangsa yang mencakupi pembinaan semangat kenegaraan, keperibadian nasional, dan kesatuan bangsa.
Sebahagian daripada hasrat murni penganjuran BBK adalah untuk mempersegar semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, sekali gus memperkukuh kembali keyakinan mereka terhadap keupayaan dan potensi bahasa itu sebagai bahasa rasmi, bahasa pengucapan budaya tinggi, bahasa ilmu, bahasa komunikasi sosial, bahasa pembentuk peribadi nasional, bahasa perpaduan, dan bahasa pengerat integrasi nasional.

DEKAT DAN DI

Dekat dan ”Di”

Choo Hung Fei
Kata dekat merupakan golongan kata adjektif. Kata adjektif dapat dibahagikan kepada sembilan jenis, seperti yang terkandung dalam Tatabahasa Dewan. Antaranya termasuklah kata adjektif sifatan atau keadaan, seperti baik dan jahat, kata adjektif warna, seperti hijau dan kuning, kata adjektif jarak, seperti jauh dan dekat, dan kata adjektif ukuran, seperti tinggi dan rendah.
Kata di pula merupakan golongan kata tugas. Menurut Tatabahasa Dewan, terdapat 17 jenis kata tugas, antaranya termasuklah kata hubung, kata seru, kata tanya, kata perintah, kata sendi nama, dan kata arah. Kata di berada dalam kelompok kata sendi nama.
Dalam hal ini, jelaslah bahawa kata dekat dan kata di bukan daripada golongan kata yang sama. Namun begitu, masyarakat lazimnya menggunakan kata dekat bagi menggantikan fungsi kata di dalam komunikasi lisan. Seolah-olah kata dekat telah mengambil fungsi kata di sebagai kata sendi nama yang merujuk tempat.

Friday 16 November 2012

IMBUHAN AWALAN YANG MENUNJUKKAN BILANGAN



Imbuhan awalan dalam bahasa Melayu yang merujuk bilangan ialah tuna-, eka-, dwi-, tri dan panca- Awalan ini dipinjam daripada bahasa Sanskrit, iaitu imbuhan yang telah lama terserap ke dalam sistem bahasa atau tatabahasa bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, imbuhan awalan yang menunjukkan maksud bilangan ini kurang digunakan oleh penutur jati bahasa Melayu. Imbuhan seperti tuna- dan tri- dilihat penggunaannya tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu untuk membentuk kata terbitan berbanding dengan imbuhan eka-, dwi- dan panca-.
Imbuhan tuna- kurang digunakan dalam bahasa Melayu, tetapi acap terdapat dalam bahasa Indonesia. Awalan tuna- menerbitkan kata nama untuk memberikan makna tiada atau tidak mempunyai langsung. Contohnya:
i. tunaaksara – tidak dapat membaca dan menulis, buta huruf.
ii. tunawisma – tidak mempunyai tempat tinggal atau rumah yang tetap, gelandangan.
iii. tunasusila – tidak bersusila.
iv. tunawicara – tidak dapat bercakap atau bisu.




Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Jun 2012

KALAU BERBAHASA......



Berkejaran angsa tepian angsana,
Mari berkawan si itik serati;
Kalau berbahasa biarlah bermakna,
Barulah sampai azimat di hati.
Hidangan desa mari dijamah,
Duduk di sanggar menampi padi;
Kalau berbahasa biarlah berhemah,
Barulah terpancar insan berbudi.
Tanam markisah di hujung dusun,
Daun cemperai ditiup pawana;
Kalau berbahasa biarlah tersusun,
Jangan sampai merosak wacana.
Darilah gangsa menjadi cembul,
Dihias indah permata utara;
Kalau berbahasa pastikan betul,
Barulah terserlah tutur bicara.
Mari rasa ulam mesirah,
Kelat sekali si buah pinang;
Kalau berbahasa penuh hidayah,
Hati yang resah menjadi tenang.
Cincin suasa di dalam peti,
Hadiah mempelai buat perawan;
Kalau berbahasa berhati-hati,
Jangan sampai menyinggung perasaan.
Subur kelisa keliling perigi,
Di tengah laman banyak cempedak;
Kalau berbahasa jangan meninggi,
Takut-takut menjadi riak.
Anak rusa di tanah pamah,
Burung tempua hinggap di titi;
Kalau berbahasa penuh berhikmah,
Satu dunia bertaut hati.

Puisi ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Oktober 2012.

MEMANTAPKAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU

 

 Memantapkan Pengajaran Bahasa Melayu

Oleh HASAN BASERI BUDIMAN
Sebenarnya tidak banyak guru yang mengambil berat tentang pentingnya objektif pengajaran, ketika mereka mengajar. Hal ini dikatakan demikian mungkin kerana guru tidak pernah menyedari bahawa objektif pengajaran itu merupakan pernyataan penting bagi mengenali perubahan yang diharapkan dalam pemikiran, tindakan atau perasaan murid, hasil daripada sesuatu kelangsungan proses pembelajaran di bilik darjah, yang juga akan menerangkan perkara yang dapat murid lakukan setelah menyempurnakan sesuatu unit pelajaran.
Tegasnya, objektif pengajaran ialah pernyataan yang menjelaskan hasil atau produk pembelajaran yang diharapkan dapat dikuasai murid pada akhir unit sesuatu pelajaran dan dapat pula diukur atau dilihat untuk dijadikan sebagai bukti bahawa objektif pembelajaran berlaku kepada murid.
Kegagalan memahami betapa pentingnya sumbangan objektif dalam pengajaran telah menjadikan kebanyakan guru bahasa Melayu:
  • Gagal mengenal pasti topik yang hendak diajarkan dan yang akan memandu mereka membuat pemilihan kaedah atau strategi pengajaran-pembelajaran termasuk jenis bantuan teknologi pendidikan yang sesuai digunakan.
  • Gagal menilai pelaksanaan rancangan pengajaran, keberkesanan pengajaran dan pencapaian murid.
  • Gagal melaksanakan pengajaran pemulihan atau pengayaan kepada murid yang memerlukannya.
  • Gagal menyedarkan murid tentang perkara atau objektif yang diharapkan untuk dicapai pada akhir pembelajaran, bagi memastikan mereka lebih peka dalam mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu di luar bilik darjah.
Hasilnya, terjadilah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tidak lebih daripada satu proses memberikan ilmu secara melepaskan batuk di tangga sahaja. Kita tidak perlu hairan jikalau selepas 55 tahun negara kita merdeka, masih banyak murid yang tidak mampu untuk menguasai bahasa Melayu dengan betul.
Sepatutnya setiap guru Bahasa Melayu yang bertanggungjawab harus rasa bimbang dengan sikap acuh tidak acuh mereka selama ini terhadap pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di bilik darjah kerana kerja sebegini akan terus merencatkan strategi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah. Sudah sampai masanya guru bahasa Melayu merencanakan sendiri usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ini dengan lebih cekap, ketika KPM sudah pun merangka strategi dalam melaksanakan langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI). Antara langkah tersebut termasuklah:
  • Penambahan bilangan guru bahasa Inggeris sebanyak 13 933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru dari luar negara, 600 orang guru bersara dan 12 333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. KPM juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 untuk kelas yang melebihi 35 orang murid tahun satu dan tahun dua.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi sekolah kebangsaan Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu. Bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil, Tahap I ditambah 100 peratus, iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu. Bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi tingkatan satu hingga tingkatan enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bagi Malaysian University English Test (MUET) untuk murid tingkatan enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi program matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam menjadi enam jam seminggu.
  • Program Sastera Kontemporari Kanak-kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca mereka di samping memperkenalkan unsur sastera.
  • Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
  • Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
  • Pelajaran tatabahasa bahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
  • Pendedahan istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.
­
Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, April 2012

KEFAHAMAN DAN PEMAHAMAN

 

Kefahaman dan Pemahaman Adakah Kedua-duanya Sama?



Oleh S. NATHESAN
Baru-baru ini, semasa sesi kelas bahasa, timbul satu persoalan dalam kalangan murid saya tentang maksud kata nama terbitan kefahaman dan pemahaman. Persoalannya: Adakah kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang sama, atau sebaliknya? Umumnya, tanggapan pengguna adalah bahawa kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama, iaitu perkataan yang bersinonim dalam bahasa Melayu.
Dalam kalangan guru, sering juga timbul persoalan ini, khususnya ketika digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kerap juga, guru mengendalikan aktiviti membaca petikan dan kemudian latihan, sama ada secara lisan atau tulisan untuk menguji pemahaman pelajar mereka. Adakah aktiviti membaca, memahami petikan dan menjawab soalan mengenai petikan disebut sebagai latihan kefahaman atau latihan pemahaman? Kini, memang terdapat penggunaan secara bertukar ganti antara latihan kefahaman dan latihan pemahaman dalam kalangan guru.
Untuk memahami maksud kedua-dua perkataan tersebut, kita teliti dahulu maknanya. Entri dalam Kamus Dewan Edisi Keempat(2005) adalah seperti yang berikut:
Kefahaman: keupayaan (kemampuan) memahami, faham tidaknya (seseorang) akan sesuatu yang dipelajari (dibaca,dsb). Contoh ayat: Oleh itu, ujian keberkesanan pengajaran guru yang sebenarnya ialah kefahaman pelajar.
Pemahaman: perihal memahami, apa yang difahami tentang sesuatu atau sejauh mana sesuatu itu difahami, tanggapan. Contoh ayat: Kesan yang paling ketara yang saya peroleh daripada kursus ini ialah pemahaman saya tentang hakikat Islam sebagai tatacara hidup yang lengkap.
___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa, Mac 2012.