Nota Bahasa




DIFTONG

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. Hal ini seperti demikian kerana bunyi diftong terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. Diftong dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem.

Ada tiga diftong asli dalam bahasa Melayu, iaitu /ai /,  /au /, dan / oi /.  Semua diftong ini dilafazkan sebagai satu kesatuan bunyi.
Huruf diftong / ai / dilafazkan dengan bunyi
            [ ai ] pada semua kedudukan (suku kata terbuka), contohnya pan.dai, hai.ran.
Huruf diftong / au / dilafazkan dengan bunyi
            [ au ] pada semua kedudukan ( suku kata terbuka), misalnya sau.da.ra, ha.ri.mau.
Huruf diftong / oi / dilafazkan dengan bunyi [ oi ] dan bukan dengan bunyi [   i ] bagi kata jati bahasa Melayu (suku kata terbuka), contohnya:  se.poi, do.doi, dan ka.loi.

Pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk mengajar bunyi diftong.  Antaranya ialah dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa, lidah merupakan alat artikulasi (pertuturan) yang paling aktif lagi penting. Murid perlulah diajar terlebih dahulu cara untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Demikian juga halnya cara membunyikan diftong au, dan oi. Kedudukan lidah pada keadaan membunyikan vokal yang pertama, lalu dengan pantasnya lidah digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang kedua pula.

Teknik yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar bunyi diftong ada dengan menggunakan  warna pada suku kata yang mengandungi huruf diftong. Caranya ialah guru akan memaparkan beberapa perkataan yang mempunyai suku kata diftong yang sama menggunakan warna merah.Contohnya, huruf diftong / au / dilafazkan dengan bunyi [ au ] pada semua kedudukan ( suku kata terbuka), misalnya , pi sau, pu sau dan pu lau. Murid akan diajar secara latih tubi membunyikan suku kata tersebut sehingga murid-murid menguasai. Ini kerana penggunaan warna dapat memberi penegasan kepada suku kata yang perlu murid kuasai.



 PERIBAHASA

Menurut Za’ba (1934), peribahasa diertikan sebagai segala susunan cakap yang pendek dan telah telah melekat di mulut orang ramai semenjak turun-temurun kerana sedap didengar dan perkataanya bijak, ringkas, luas dan mempunyai maksud yang mendalam dipakai akan jadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran.

Sebagai guru bahasa Melayu, peribahasa penting untuk diajar di dalam bilik darjah. Dalam pengajaran dan pembelajaran, murid-murid sangat digalakkan untuk mengetahui serta dapat menggunakan peribahasa yang sesuai untuk menghiasi karangan atau percakapan dan menguatkan tujuan karangan atau sesuatu percakapan. Murid boleh mengguna pakai peribahasa semasa membina ayat supaya ayat tersebut menjadi lebih gramatis.  Peribahasa boleh menggambarkan keseluruhan maksud dan rumusan bagi sesuatu penulisan karangan atau percakapan.

Guru juga boleh mengguna pakai peribahasa sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu dalam menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran kerana peribahasa mempunyai ciri pelembut agar pendengar terutama murid-murid tidak mudah terasa hati. Guru juga boleh menggunakan peribahasa yang sesuai untuk memotivasi murid sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, ‘genggam bara api, biar sampai jadi bara’ dan banyak lagi.....



SEMANTIK

Dalam bahasa harian, perkataan semantik bermaksud makna. Dalam ilmu lingustik, istilah semantik bermaksud kajian fenomena makna dalam bahasa. Sebagai seorang guru, kita perlu menguasai aspek semantik di dalam bilik darjah. Dalam bahasa Melayu, setiap perkataan mempunyai banyak makna. Guru perlu mengetahui dan memahami semantik untuk memastikan penggunaan perkataan adalah sesuai atau tepat pada tempatnya. Contohnya, perkataan ‘mereka’ mempunyai dua makna iaitu pertama,kata ganti diri ketiga yang menunjukkan bilangan yang ramai dan makna kedua, memikirkan (sesuatu) atau merancang .

Selain itu, guru perlu menguasai semantik supaya dapat membantu murid-murid menguasai pelbagai jenis perkataan yang mempunyai makna yang lebih tepat dalam menulis sesuatu ayat dengan betul. Guru perlulah dapat membezakan perkataan seperti hiris, potong, kerat,  atau belah. Perkataan ini merupakan perbuatan yang sama tetapi mempunyai makna yang berbeza mengikut makna ayat yang digunakan. Sehubungan itu, melalui pengetahuan mengenai semantik, guru dapat membantu murid-murid dalam membezakan makna perkataan dalam sesuatu ayat.

2 comments:

anda komen daku balas