Tuesday, 9 October 2012

TAHUKAH ANDA....

PEMARTABATAN BAHASA MELAYU(DEWAN BAHASA 2/99) Oleh: Mazlan A. Aziz


PENDAHULUAN  

Martabat dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan terutamanya di institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan status apabila Akta Pendidikan 1996 diluluskan oleh Parlimen Malaysia.    Menurut tafsiran Seksyen 2 dan seksyen berkenaan dalam Akta 1996, bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana institusi pendidikan lain. Peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar telah mengalami perubahan. 

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA 

 PERLEMBAGAAN persekutuan Malaysia melalui Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi. Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kecualian, iaitu dengan syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain. 

 Berdasarkan perkara ini, mahkamah pernah memutuskan, dalam kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia, bahawa oleh sebab tiadanya perkataan “in” (dalam), maka hak untuk mengajar “dalam” bahasa Cina atau sesuatu bahasa lain, selain bahasa Melayu tidak dibenarkan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.  

KEDUDUKAN INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA DALAM 
SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN     

PENGIKTIRAFAN Institusi Pendidikan Swasta (IPS) sebagai sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan dibuat melalui Seksyen 16 Akta 1996. Oleh sebab IPS merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan, maka IPS mempunyai pilihan dalam hal penggunaan bahasa penghantar sama ada untuk mengikut amalan sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan atau memohon kecualian mengikut seksyen 17 akta berkenaan. Dengan perkataan lain, IPS mempunyai kebebasan seluas-luasnya dalam menentukan penggunaan bahasa penghantar. Kelonggaran inilah yang merendahkan martabat bahasa Melayu sekali gus melemahkan pencapaian falsafah dan matlamat dasar pendidikan kebangsaan.
 
 Dari satu segi, Seksyen 75 sebenarnya tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Menteri dalam menghendaki pengajaran mata pelajaran tertentu yang relevan dalam konteks pendidikan bersepadu dan kenegaraan di peringkat menengah atas kerana Menteri hanya boleh meminta (may require) institusi pendidikan swasta untuk mengajarkan mata pelajaran bahasa kebangsaan apabila bahasa lain digunakan sebagai bahasa penghantar. Hal ini bermakna bahawa Menteri tidak diberi kuasa yang jelas untuk membolehkan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan. Selain itu, bahasa Melayu hanya diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan di samping mata pelajaran lain yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi swasta.    Kesan lain yang ketara ialah bahasa Melayu mungkin tidak mempunyai tempat dalam kurikulum pendidikan swasta kerana bukan sahaja boleh tidak menjadi bahasa penghantar tetapi boleh juga tidak menjadi bahasa wajib. Malah, kedudukannya sebagai bahasa pilihan sebagai bahasa asing tidak disebut sama sekali.  

PERMASALAHAN MARTABAT BAHASA MELAYU SEBAGAI   BAHASA KEBANGSAAN 

Beberapa gejala yang berlaku kini dengan seriusnya mencabar martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Menurut Hashim Musa (1996), yang paling serius ialah penubuhan kolej swasta dan separuh swasta dan institusi pengajian tinggi kerajaan yang kesemuanya berpenghantar bahasa Inggeris. Menurut beliau lagi, faktor ini ditambah pula oleh gejala globalisasi yang menekankan penggunaan bahasa Inggeris dengan pesatnya. Selain itu, faktor-faktor itu disertai juga oleh penggunaan bahasa Inggeris yang memang berleluasa dalam sektor swasta yang tidak pernah tergugat atau digugat. Di samping itu, wujud golongan Inggerisofili yang muncul dengan nostalgia mereka yang amat tebal terhadap bahasa Inggeris hingga menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dan sebagai bahasa penghantar pendidikan.

  Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah kini di kalangan golongan elit Malaysia timbul satu perasaan kecurigaan tentang kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa penghantar ilmu sains dan teknologi (Hashim Musa 1996). Dengan kata lain, wujud krisis keyakinan tentang kemampuan bahasa Melayu dalam menghuraikan dan mengungkapkan ilmu yang tinggi. Oleh hal yang demikian, faktor dan krisis ini perlu dilihat secara objektif dalam usaha kita memartabatkan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila wujudnya Akta IPTS yang kelihatan meminggirkan bahasa Melayu.    

PEMARTABATAN BAHASA MELAYU DI INSTITUSI   PENDIDIKAN TINGGI SWASTA     

Perjuangan mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu telah dijalankan sekian lama. Malah proses menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pendidikan telah mengambil masa yang panjang dan hanya pada tahun 1982 baharulah bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar sepenuhnya dalam sistem pendidikan negara. Pelbagai akta dan dasar seperti Akta Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 serta Penyata Razak dan Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1982) telah dirancang, digubal, dan dilaksanakan. Penubuhan Universiti kebangsaan Malaysia pada tahun 1972 yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa penghantar menunjukkan kemampuan bahasa Melayu itu sendiri.
 
 Berdasarkan pelbagai akta dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berkenaan, jelaslah bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu telah diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Tetapi martabat bahasa Melayu kelihatan terhakis dengan wujudnya akta Pendidikan 1996. Peruntukan dalam akta berkenaan jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah di kesampingkan. Dalam hal ini, Abdullah Ayob (1998) Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata bahawa para siswa tempatan perlu mempertahankan martabat bahasa kebangsaan kerana kedudukan bahasa kebangsaan sekarang ini berhadapan dengan beberapa banyak tekanan berikutan banyak institusi pengajian tinggi swasta yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Abdullah berkata bahawa langkah ini perlu bagi memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan untuk selama-lamanya.  
 Kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam akta berkenaan juga telah menyebabkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V 1998 membuat resolusi agar:   ? Menyemak serta melaraskan semula tujuan Akta Pendidikan (AP) 1996 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996.  ? Menggugurkan Fasal 17 dalam AP dan Fasal 41 Akta IPTS 1996.   ? Mengkaji dan menggugurkan dasar yang membenarkan bahasa Inggeris, Cina, dan Tamil digunakan sebagai bahasa penghantar di sekolah dan di universiti.   ? Menggesa semua tenaga pengajar tempatan di IPTS mengajar kursus dalam bahasa Melayu.   ? Menggesa memastikan semua IPTS yang akan memulakan dan menyambung operasinya menyediakan rancangan realistik untuk melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam jangka masa yang munasabah.(Berita Harian 29 Jun 1998:1) 

Berdasarkan resolusi di atas, jelaslah bahawa AP 1996 dan Akta IPTS 1996 berhubung dengan kedudukan bahasa Melayu telah meragukan dan membimbangkan banyak pihak. Abdul Latif Abu Bakar, pengarah kongres berkenaan berkata bahawa pertumbuhan pesat IPTS kini rata-rata menyaksikan kebanyakan pihak berkenaan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam pelaksanaan program pengajian yang ditawarkan. Keadaan ini secara langsung menggambarkan pihak terbabit tidak mendaulatkan bahasa rasmi negara.    AP 1996 dan Akta IPTS 1996 turut dilihat sebagai bertentangan dengan langkah-langkah peningkatan dan pengukuhan bahasa Melayu. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin (1994) menegaskan bahawa beberapa langkah telah diambil untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran, kecuali bahasa-bahasa asing melalui strategi bahasa Melayu merentas kurikulum. Jelas sekali bahawa langkah ini akan menjadi sia-sia dan boleh dilihat sebagai berundur ke belakang. 

 Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (1998) telah membuat pengumuman bahawa kursus Pengajian Malaysia yang diwajibkan di semua universiti swasta di negara ini akan dikendalikan dalam bahasa Melayu, selaras dengan usaha mengangkat martabat bahasa itu. Langkah ini merupakan suatu usaha yang sangat dialu-alukan. Walau bagaimanapun usaha ini tentunya masih belum cukup untuk memartabatkan bahasa melayu sewajarnya.  

 Kerajaan tidak harus membelakangkan penggunaan bahasa Melayu kerana usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa dan untuk menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan akan gagal. Sekiranya kita ingin menjadikan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa utama dunia siber, bahasa Melayu perlu terlebih dahulu digunakan di IPTS. Jika tidak, cita-cita ini hanya akan menjadi omong-omong kosong dan akan tinggal impian semata-mata.  Inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan bahasa Melayu terutamanya di peringkat institusi pengajian tinggi kepada pelajar dari negara luar. Dengan bersikap proaktif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dihormati oleh warga dunia maka kita harus mendaulatkannya di dalam dan di luar negara.

 Juriah Long (1996) dalam kertas kerjanya yang bertajuk Pendidikan bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa dalam era industrialisasi dan globalisasi telah menyatakan bahawa ahli profesional dan teknokrat dari luar negara yang bertugas di negara ini perlu berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan pekerja mereka. Oleh itu, mereka perlu juga mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa asing dan oleh sebab timbulnya keperluan-keperluan baru bagi menghadapi era industrialisasi dan globalisasi ini maka sewajarnyalah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar di IPTS negara ini.  

 Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Dalam hal ini, kita sedia maklum bahawa institusi pengajian tinggi merupakan institusi yang menjunjung ciri-ciri keilmiahan sama ada dari aspek pengajaran dan pemelajaran mahupun dari aspek penyelidikan. Universiti memainkan peranan utama dalam penyelidikan dan sewajarnyalah bahasa Melayu digunakan agar dapat mengangkat martabat dan kemampuan bahasa Melayu itu sendiri memperkatakan hal-hal yang lebih abstrak secara tepat dan tegas. 
  Akta Pendidikan 1961 yang memberikan fokus utama mengembangkankan pendidikan melalui bahasa kebangsaan sebagai medianya dan menggantikan bahasa Inggeris telah berjaya (Abdul Ghani Awang 1997). Akta tersebut memainkan peranannya selama tiga dekad setengah dan didapati mampu melaksanakan matlamat dan falsafah dasar pendidikan negara. Kejayaan demi kejayaan telah dicapai dan Malaysia diakui sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu dengan menggunakan dan menempatkan bahasa Melayu dengan sewajarnya. Oleh itu, tidak perlu wujud kurang keyakinan dalam menggembleng dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS seperti yang dilakukan sebelum ini. IPTS yang baru muncul tidak wajar diberikan kelonggaran semata-mata untuk memberikan peluang dan kesempatan kepada bahasa asing mengambil tempat.

 Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan selama ini telah banyak membawa kemajuan kepada pembangunan negara dan dapat menerapkan perpaduan di kalangan rakyatnya. Oleh itu, wajarlah keyakinan dan kepercay aan kepada kemampuan bahasa Melayu diteruskan dalam sistem pendidikan negara.  
 Pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing sebenarnya telah lama dijalankan di institusi pengajian tinggi di negara ini.

 Menurut Azhar Ab. Wahab dan Noor Ida Ramli (1997), Jabatan Pengajian Melayu Institut Teknologi Mara mula memperkenalkan kursus bahasa Melayu sejak tahun 1972 lagi kepada pelajar Kajian Sebaran Am dan kursus-kursus diploma yang lain. Malah kursus bahasa Melayu bagi sekumpulan 25 orang jurutera syarikat Esso Production Malaysia Inc., Kerteh Terengganu telah dijalankan oleh ITM cawangan Pahang. Begitu juga halnya dengan pengalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (Abu Bakar Hj. Ibrahim dan Asma Yussof 1994) dan Universiti Sains Malaysia (Mashudi Kader 1996). Keadaan ini menunjukkan kemampuan dan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa pemelajaran dan juga bahasa keilmiahan khususnya di IPT tempatan. 

 Martabat bahasa Melayu di IPT sebenarnya telah menunjukkan kemampuan dan keberkesanannya. Hal ini diperkuat apabila bahasa Melayu diajarkan dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di Australia, di New Zealand, dan di Amerika Utara, di samping diteliti dan diajarkan di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara (Ismail Hussein 1995). Dalam hal ini, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa antarabangsa. Universiti islam Antarabangsa sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar utama dan bahasa Arab sebagai bahasa penghantar kedua (Awang Sariyan 1995) juga telah menjalankan usaha-usaha memartabatkan bahasa Melayu untuk nantinya diangkat sebagai bahasa penghantar.

Hal ini demikian kerana universiti ini disertai oleh pelajar dari dalam negara dan negara luar. Malah Awang Sariyan (1995) turut menyarankan supaya bahasa Melayu diwajibkan di kalangan anak-anak warganegara asing yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa.    Peranan IPT dalam meningkatkan martabat bahasa Melayu sebenarnya sangat penting. Hal ini demikian kerana bidang penyelidikan dijalankan di universiti terutamanya tentang bahasa Melayu. Penyelidikan dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu dan sekali gus membantu meningkatkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Menurut Mohd. Tajudin Abdul Rahman (1996), aktiviti penyelidikan merupakan sesuatu yang dapat membawa kepada pengembangan dan perubahan.

 Dengan kata lain, apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penyelidikan, hal ini akan dapat meningkatkan status dan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Berdasarkan hakikat ini, maka wajarlah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar di IPTS.    Kecenderungan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS juga berkait rapat dengan persepsi kita tentang kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik di universiti. Pada tanggal 6 Mei 1995, kerajaan telah menyatakan bahawa:  
 “Kerajaan hari ini mengambil keputusan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi bagi tujuan meningkatkan ilmu dalam bidang sains dan teknologi … Langkah ini perlu bagi memastikan pencapaian dan penyertaan rakyat dalam pelbagai bidang dalam proses menjayakan negara”              (Mingguan Malaysia 7 Mei 1995)  

Kenyataan di atas jelas menunjukkan ketidakyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu, lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi. Dalam hal ini Abdul Hamid Mahmood (1996) mengatakan bahawa persoalan mampu atau tidak mampunya bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa akademik terletak pada pendukung atau pengguna bahasa itu sendiri. Abdul Hamid Mahmood menambah bahawa selepas tiga belas tahun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar ilmu di universiti-universiti, kesangsian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik mula dipersoalkan.  

Meletakkan status atau martabat bahasa Melayu bermakna meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membina budaya berbahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, Tajul Ariffin Noordin (1991) pernah menyarankan supaya diadakan usaha memperkembangkan dan memperkaya penyelidikan asli karya-karya dalam bahasa Melayu dalam semua bidang. Menurut beliau lagi, seluruh spektrum ilmu perlulah diselidiki dan ditulis semula dalam bentuknya yang asal daripada sudut falsafah. Sekiranya kita tidak berani menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS, bermakna wujud krisis keyakinan masyarakat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu.   Sebenarnya, pelbagai seminar dan persidangan telah dianjurkan oleh badan-badan bahasa dan pihak-pihak yang berkenaan bagi memartabatkan bahasa Melayu. Persatuan Linguistik Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Seminar Tamadun Berbahasa Melayu Menjelang Tahun 2020. Seminar ini telah mengutarakan lima resolusi yang antara lain menyatakan bahawa bahasa Melayu telah diterima secara sah dalam dokumen-dokumen perundang-undangan negara sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu.
 
Mangantar Simanjuntak (1995) mengatakan bahawa pemelajaran bahasa Inggeris bukan menjadi matlamat utama sistem pendidikan kita. Bahasa Inggeris hanyalah cara untuk memperoleh pengetahuan dan untuk mencapai matlamat yang lain. Menurutnya lagi, kualiti sistem pendidikan kita tidak seharusnya diukur berdasar pada kecekapan kita dalam bahasa Inggeris atau sama ada kita mampu atau tidak mampu bertutur dengan fasih dalam persidangan antarabangsa. Tambahnya lagi, bahasa asing tidaklah terlalu sukar dipelajari jika kita bersungguh-sungguh mempelajarinya. 

CADANGAN DAN KESIMPULAN 

Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan harus dikembalikan. Bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah maka negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.    Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di IPTS sangat wajar. Keraguan dari segi kemampuan bahasa Melayu untuk mengungkapkan hal-hal yang berkait dengan sains dan teknologi terutamanya perlu dihapuskan dengan usaha pengintelektualan bahasa Melayu dalam bidang tersebut supaya kewibawaan dan martabat bahasa Melayu dapat dipertahankan. Semua pihak mestilah diyakinkan bahawa ketekalan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan tinggi amat penting bagi menjamin kelangsungan negara dan bangsa Malaysia. 

 Usaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dunia dan era globalisasi, melalui bahasa penghantar yang sesuai perlu juga difikirkan. Oleh sebab bahasa Melayu sudah diajarkan di pelbagai universiti di dalam dan di luar negeri, maka usaha memenuhi keperluan ini tidaklah terlalu sukar.  

 Selain keperluan berkenaan, kempen, konvensyen, seminar, dan persidangan yang meluas di kalangan rakyat perlu diadakan bagi menanamkan keyakinan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan. Keyakinan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan. Keyakinan tentang kedudukan, martabat, dan wibawa bahasa Melayu perlu terus ditanam, dipupuk, dibina, dan ditingkatkan dari semasa ke semasa. 

 Sememangnya kita senantiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan daya saing, ketahanan, kekreatifan, dan kecemerlangan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan terutamanya. Pihak swasta harus disedarkan bahawa tujuan menguasai bahasa Inggeris cuma untuk menjadi alat menimba dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Yang lebih penting, bagi membina tamadun bangsa dan negara, kita memerlukan bahasa Melayu yang dapat tumbuh, bertapak, dan berakar umbi di hati sanubari rakyat negara ini.  

Saranan supaya digugurkan Fasal 17 dalam AP dan Fasal 41 Akta IPTS 1996 dan menggugurkan dasar yang membenarkan bahasa Inggeris, Cina, dan Tamil digunakan sebagai bahasa penghantar di sekolah dan di universiti wajar dibuat. Peruntukan ini seolah-olah menunjukkan adanya krisis keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan yang telah kita bina selama ini. Jika tidak, akan wujud di sebelah pihak untuk membina bahasa Melayu manakala pada pihak yang di sebelah lagi berusaha untuk meruntuhkan atau menghakisnya.  

 Martabat dan status bahasa Melayu perlu dipertahankan dan yang akan mempertahankannya atau tidak adalah kehendak kita sendiri. Dalam usaha kita membina, tidak perlu ada usaha meruntuh supaya segala usaha kita tidak akan menjadi sia-sia. Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan agar tidak pupus. Bahasa Melayu perlu terus dikembangkan supaya tidak hilang di dunia ini serta dapat mencerminkan bangsa kita.  

  

Sayangi Bahasa Kita.

    Dalam era dunia teknologi yang semakin canggih kebanyakan manusia kini tidak lagi mementingkan bahasa.Jika boleh diringkaskan berbahasa maka akan timbullah bahasa singkatan malah bahasa rojak yang semakin menular di kalangan golongan remaja dan kanak-kanak dewasa ini.

    Di manakah bahasa menunjukkan bangsa?


Mungkinkah kita adalah di antara mereka?



Sayangi Bahasa Melayu moga tidak luput dek zaman.





HAYATILAH LIRIK LAGU INI...

Monday, 1 October 2012

BAHASA JIWA BANGSA.






                                             

CINTAKU KEPADAMU BAHASA MELAYUKU.

Ku menyusuri denai bahasaku yang berliku
menghalang penjajahan minda petualang
mencari mantera mengisi ruang akalku
dengan kalimat penuh semangat
'tak akan Melayu hilang di dunia'
kutanam semangatnya buar teguh di jiwa.

Kutebas lalang di lorong bahasaku
mencari makna frasa demi frasa
untuk mendidikku cara lenggok berbudi
juga mengajarku tentang citra kesusilaan
agar langkahku teratur gagah ke hadapan
penuh dengan diplomasi sopan Melayu.
Bahasaku itu indah rupanya
namun, kadangkala tajamnya ibarat
pedang
menghiris dan membunuh perasaan
jika ujaran di luar kehalusan budi bahasa
jika tindakan di luar adab santun Melayu
pasti bahasa membunuh jati diri bangsa.

Justeru, saat indah bahasaku kian luntur
cintaku kepadamu Bahasa Melayuku
tak akan terhakis oleh rempuhan globalisasi
kerana aku adalah wasilahmu
lambang kekuatan warisan zaman.

ZABRI ZAINOL ABIDIN
Anjung Sena, SK Kulim Hi-Tech.

Simpulan Bahasa..

Hari ini apa kata kita lihat dua buah video simpulan bahasa.Walaupun nampak ringkas tetapi sangat menarik...jom..kita belajar simpulan bahasa.



                                           
                                                             video 1     

    

                                                             
                                                           video 2


                                                                
Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah.

Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat. Di sini saya sediakan contoh-contoh simpulan bahasa.
Senarai simpulan bahasa beserta dengan maksudnya adalah seperti yang berikut:

Simpulan Bahasa
Maksudnya
ada angin
berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
ada hati
mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan untuk melakukan atau memiliki sesuatu
air muka
rupa atau wajah seseorang
ajak-ajak ayam
tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang
ada bakat
mempunyai tokoh atau perwatakan
alas perut
makanan yang dimakan untuk sementara waktu sebelum memakan makanan yang mengenyangkan
anak angkat
anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri
anak bapa
anak yang disayangi oleh bapa
anak buah
orang yang di bawah jagaan seorang ketua atau anak saudara
anak emas
anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya
angkat kaki
meninggalkan sesuatu tempat kerana sesuatu sebab
atas angin
negara-negara di sebelah barat
atas pagar
tidak menyebelahi mana-mana pihak
ayam tambatan
orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan
bahasa pasar
bahasa Malaysia yang tidak betul tatabahasanya
banyak mulut
orang yang banyak bercakap
batu api
orang yang suka menghasut
batu loncatan
sesuatu yang dijadikan alat untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati
bau-bau bacang
tali persaudaraan yang jauh
bawah angin
negara-negara di sebelah timur
bekas tangan
hasil kerja tangan seseorang
beralih akal
berubah fikiran atau pendapat
beralih angin
pergi ke sesuatu tempat untuk berehat
berat hati
enggan; malas
berat mulut
pendiam atau tidak suka bercakap banyak
berat tulang
orang yang malas bekerja
berat sebelah
tidak berlaku adil
berbelah bagi
sukar untuk membuat keputusan
berhati batu
degil dan sukar menerima nasihat
berhutang budi
patut membalas kebaikan seseorang dengan kebaikan juga
bermuka dua
tidak jujur
bertikam lidah
bertengkar; berdebat
besar hati
bergembira atau berbangga akan sesuatu
besar kepala
degil; sukar menerima pandangan orang lain
buah hati
orang yang dikasihi atau dipuja
buah mulut
sesuatu yang menjadi perbualan orang ramai
bush tangan
hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang
bulat hat!
bersungguh-sungguh ketika membuat sesuatu; sudah nekad
buruk siku
mengambil balik sesuatu yang telah diberikan kepada orang lain
buta hati
tidak dapat menerima pengajaran; zalim; kejam
cahaya mata
anak
cakar ayam
tulisan yang buruk
campur tangan
turut serta atau mencampuri urusan orang lain
cari jalan
berusaha atau berikhtiar melakukan sesuatu
epat tangan
suka mencuri
dalam tangan
sudah pasti akan diperoleh
darah daging
anak kandung
durian runtuh
keuntungan yang diperoleh dengan tidak disangka-sangka
gaji buta
mendapat gaji tanpa perlu bersusah payah atau bekerja bersungguh-sungguh
gelap mata
hilang pertimbangan kerana terpengaruh oleh wang atau harta
harga diri
maruah atau kehormatan seseorang
harga mati
harga tetap yang tidak dapat ditawar lagi
hati batu
degil atau keras hati
hidung tinggi
sombong atau tinggi diri
hilang akal
tidak tahu apa-apa yang perlu dibuat; hilang pertimbangan diri
ikat perut
menahan lapar kerana berjimat
iri hati
menyimpan perasaan dengki atau cemburu
isi hati
perasaan dalam hati
jalan buntu
tidak ada jalan penyelesaian
kacang hantu
orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain
kaki ayam
tidak berkasut atau berselipar
kaki bangku
tidak berkebolehan bermain bola
kaki botol
suka minum minuman keras
kecil hati
berasa tersinggung atau merajuk
kepala angin
perangai yang tidak menentu
kepala batu
degil dan tidak mendengar nasihat
kera sumbang
orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain
khabar angin
berita yang belum tentu benarnya
langkah kanan
bernasib baik
langkah seribu
cepat-cepat lari kerana ketakutan
lidah bercabang
kata-kata yang tidak dapat dipercayai
lipas kudung
cepat membuat kerja
lintah darat
mengambil keuntungan berlebihan atas pinjaman yang diberikan
makan angin
bersiar-siar untuk berehat
makan suap
menerima rasuah
malu-malu kucing
berpura-Aura malu di hadapan orang
mandi peluh
bekerja kuat
mati katak
mati dengan sia-sia
membabi buta
melakukan sesuatu tanpa berfikir
membawa diri
tahu menjaga diri
membuka jalan
memberi laluan kepada orang lain
membuka tembelang
menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain
memeras otak
terlalu kuat berfikir atau belajar
menarik diri
tidak turut serta; meletak jawatan
mencari jalan
berusaha untuk melakukan sesuatu
mencuci mata
gembira memperhatikan sesuatu yang indah
mencuit hati
lucu; menggelikan hati
mengabui mata
cuba memperdaya; menipu
mengadu domba
memperlagakan seseorang untuk memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya
mengambil angin
bersiar-siar untuk berehat
mengambil berat
memberi sepenuh perhatian
mengambil hati
dapat memikat atau mempengaruhi
mengasah bakat
latihan untuk mengembangkan bakat
muka tembok
tidak berasa malu
mulut murai
kuat bercakap atau berbuat bising
mulut tempayan
tidak dapat menyimpan rahsia
murah hati
suka bederma; tidak kedekut
naik angin
terlalu marah
nyawa-nyawa ikan
hampir-hampir mati
orang atasan
orang yang berpangkat tinggi
otak cair
pintar atau bijak
otak kering
kurang siuman
otak udang
bebal atau bodoh
paku belanda
barangan yang tetap harganya
panas hati
meradang atau marah
panjang tangan
suka mencuri
pasang telinga
mendengar dengan teliti
pekak badak
kurang jelas pendengarannya; tidak dapat mendengar bunyi yang kuat
pembasuh mulut
makanan atau minuman yang dihidangkan selepas makan nasi
perang mulut
pertengkaran
pilih kasih
memberi layanan yang lebih kepada orang yang disukai
pisau cukur
perempuan yang suka menghabiskan harta benda lelaki
puteri lilin
tidak tahan terkena panas matahari
putih hati
ikhlas; jujur
putih mata
mengalami kekecewaan
rabun ayam
penglihatan yang kurang jelas
rambang mata
sukar membuat pilihan
ringan tangan
suka membuat kerja: menolong orang
sampai hati
tergamak melakukan sesuatu kerja
serkap jarang
membuat tuduhan secara agak-agak atau tanpa usul periksa
tangan terbuka
menyambut sesuatu dengan senang hati
tangkai jering
orang yang kedekut
tawar hati
tidak mempunyai minat lagi
tebal muka
tidak tahu malu
telinga kuali
tahan hati menerima kemarahan
telinga lintah
tajam pendengaran
telinga nipis
cepat marah atau meradang
terang hati
mudah memahami sesuatu
tidur-tidur ayam
tidur yang tidak nyenyak
tin kosong
bercakap besar tanpa ilmu
titik peluh
hasil usaha yang bersungguh-sungguh