PEMARTABATAN BAHASA MELAYU(DEWAN BAHASA 2/99)
Oleh: Mazlan A. Aziz
PENDAHULUAN
Martabat dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
pendidikan terutamanya di institusi pendidikan tinggi swasta mengalami
perubahan status apabila Akta Pendidikan 1996 diluluskan oleh Parlimen
Malaysia.
Menurut tafsiran Seksyen 2 dan seksyen berkenaan dalam Akta 1996,
bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa penghantar di semua
institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Walau
bagaimanapun, menurut Seksyen 17(1) Menteri ada kuasa mengecualikan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di mana-mana
institusi pendidikan lain. Peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa
kedudukan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar telah
mengalami perubahan.
KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA
PERLEMBAGAAN
persekutuan Malaysia melalui Perkara 152(1) memperuntukkan
bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam
apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang
oleh Parlimen. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula
menghendaki bahasa kebangsaan digunakan untuk maksud rasmi. Perkara
152(1)(a) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kecualian, iaitu dengan
syarat bahawa tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada
menggunakan (bagi apa-apa maksud, lain daripada maksud rasmi), atau
daripada mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain.
Berdasarkan perkara ini, mahkamah pernah memutuskan, dalam kes
Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia, bahawa oleh sebab tiadanya
perkataan “in” (dalam), maka hak untuk mengajar “dalam” bahasa Cina atau
sesuatu bahasa lain, selain bahasa Melayu tidak dibenarkan dan
bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
KEDUDUKAN INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA DALAM
SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
PENGIKTIRAFAN Institusi Pendidikan Swasta (IPS) sebagai sebahagian
daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan dibuat melalui Seksyen 16 Akta
1996. Oleh sebab IPS merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan
kebangsaan, maka IPS mempunyai pilihan dalam hal penggunaan bahasa
penghantar sama ada untuk mengikut amalan sekolah kebangsaan atau
sekolah jenis kebangsaan atau memohon kecualian mengikut seksyen 17 akta
berkenaan. Dengan perkataan lain, IPS mempunyai kebebasan
seluas-luasnya dalam menentukan penggunaan bahasa penghantar.
Kelonggaran inilah yang merendahkan martabat bahasa Melayu sekali gus
melemahkan pencapaian falsafah dan matlamat dasar pendidikan
kebangsaan.
Dari satu segi, Seksyen 75 sebenarnya tidak memberikan apa-apa kuasa
kepada Menteri dalam menghendaki pengajaran mata pelajaran tertentu yang
relevan dalam konteks pendidikan bersepadu dan kenegaraan di peringkat
menengah atas kerana Menteri hanya boleh meminta (may require) institusi
pendidikan swasta untuk mengajarkan mata pelajaran bahasa kebangsaan
apabila bahasa lain digunakan sebagai bahasa penghantar. Hal ini
bermakna bahawa Menteri tidak diberi kuasa yang jelas untuk membolehkan
pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan. Selain itu, bahasa
Melayu hanya diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan di samping mata
pelajaran lain yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi swasta.
Kesan lain yang ketara ialah bahasa Melayu mungkin tidak mempunyai
tempat dalam kurikulum pendidikan swasta kerana bukan sahaja boleh tidak
menjadi bahasa penghantar tetapi boleh juga tidak menjadi bahasa wajib.
Malah, kedudukannya sebagai bahasa pilihan sebagai bahasa asing tidak
disebut sama sekali.
PERMASALAHAN MARTABAT BAHASA MELAYU SEBAGAI
BAHASA KEBANGSAAN
Beberapa gejala yang berlaku kini dengan seriusnya mencabar martabat dan
kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Menurut
Hashim Musa (1996), yang paling serius ialah penubuhan kolej swasta dan
separuh swasta dan institusi pengajian tinggi kerajaan yang kesemuanya
berpenghantar bahasa Inggeris. Menurut beliau lagi, faktor ini ditambah
pula oleh gejala globalisasi yang menekankan penggunaan bahasa Inggeris
dengan pesatnya. Selain itu, faktor-faktor itu disertai juga oleh
penggunaan bahasa Inggeris yang memang berleluasa dalam sektor swasta
yang tidak pernah tergugat atau digugat. Di samping itu, wujud golongan
Inggerisofili yang muncul dengan nostalgia mereka yang amat tebal
terhadap bahasa Inggeris hingga menggugat bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan Malaysia dan sebagai bahasa penghantar pendidikan.
Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah kini di kalangan
golongan elit Malaysia timbul satu perasaan kecurigaan tentang kemampuan
bahasa Melayu untuk menjadi bahasa penghantar ilmu sains dan teknologi
(Hashim Musa 1996). Dengan kata lain, wujud krisis keyakinan tentang
kemampuan bahasa Melayu dalam menghuraikan dan mengungkapkan ilmu yang
tinggi. Oleh hal yang demikian, faktor dan krisis ini perlu dilihat
secara objektif dalam usaha kita memartabatkan bahasa Melayu,
lebih-lebih lagi apabila wujudnya Akta IPTS yang kelihatan meminggirkan
bahasa Melayu.
PEMARTABATAN BAHASA MELAYU DI INSTITUSI
PENDIDIKAN TINGGI SWASTA
Perjuangan mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu telah dijalankan
sekian lama. Malah proses menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa
penghantar pendidikan telah mengambil masa yang panjang dan hanya pada
tahun 1982 baharulah bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar sepenuhnya
dalam sistem pendidikan negara. Pelbagai akta dan dasar seperti Akta
Pelajaran 1961, Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Bahasa Kebangsaan 1967
serta Penyata Razak dan Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran (1982) telah dirancang, digubal, dan
dilaksanakan. Penubuhan Universiti kebangsaan Malaysia pada tahun 1972
yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai bahasa penghantar
menunjukkan kemampuan bahasa Melayu itu sendiri.
Berdasarkan pelbagai akta dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang
berkenaan, jelaslah bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu telah
diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai
bahasa rasmi. Tetapi martabat bahasa Melayu kelihatan terhakis dengan
wujudnya akta Pendidikan 1996. Peruntukan dalam akta berkenaan jelas
menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah di kesampingkan. Dalam hal ini,
Abdullah Ayob (1998) Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
berkata bahawa para siswa tempatan perlu mempertahankan martabat bahasa
kebangsaan kerana kedudukan bahasa kebangsaan sekarang ini berhadapan
dengan beberapa banyak tekanan berikutan banyak institusi pengajian
tinggi swasta yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar. Abdullah berkata bahawa langkah ini perlu bagi memastikan
bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan untuk selama-lamanya.
Kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam akta berkenaan juga telah
menyebabkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V 1998 membuat resolusi
agar:
? Menyemak serta melaraskan semula tujuan Akta Pendidikan (AP) 1996 dan
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996. ? Menggugurkan
Fasal 17 dalam AP dan Fasal 41 Akta IPTS 1996.
? Mengkaji dan menggugurkan dasar yang membenarkan bahasa Inggeris,
Cina,
dan Tamil digunakan sebagai bahasa penghantar di sekolah dan di
universiti.
? Menggesa semua tenaga pengajar tempatan di IPTS mengajar kursus dalam
bahasa Melayu.
? Menggesa memastikan semua IPTS yang akan memulakan dan menyambung
operasinya menyediakan rancangan realistik untuk melaksanakan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar dalam jangka masa yang
munasabah.(Berita Harian 29 Jun 1998:1)
Berdasarkan resolusi di atas, jelaslah bahawa AP 1996 dan Akta IPTS 1996
berhubung dengan kedudukan bahasa Melayu telah meragukan dan
membimbangkan banyak pihak. Abdul Latif Abu Bakar, pengarah kongres
berkenaan berkata bahawa pertumbuhan pesat IPTS kini rata-rata
menyaksikan kebanyakan pihak berkenaan menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa penghantar dalam pelaksanaan program pengajian yang
ditawarkan. Keadaan ini secara langsung menggambarkan pihak terbabit
tidak mendaulatkan bahasa rasmi negara.
AP 1996 dan Akta IPTS 1996 turut dilihat sebagai bertentangan dengan
langkah-langkah peningkatan dan pengukuhan bahasa Melayu. Wan Mohd.
Zahid Mohd. Noordin (1994) menegaskan bahawa beberapa langkah telah
diambil untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua mata
pelajaran, kecuali bahasa-bahasa asing melalui strategi bahasa Melayu
merentas kurikulum. Jelas sekali bahawa langkah ini akan menjadi sia-sia
dan boleh dilihat sebagai berundur ke belakang.
Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (1998) telah
membuat pengumuman bahawa kursus Pengajian Malaysia yang diwajibkan di
semua universiti swasta di negara ini akan dikendalikan dalam bahasa
Melayu, selaras dengan usaha mengangkat martabat bahasa itu. Langkah ini
merupakan suatu usaha yang sangat dialu-alukan. Walau bagaimanapun
usaha ini tentunya masih belum cukup untuk memartabatkan bahasa melayu
sewajarnya.
Kerajaan tidak harus membelakangkan penggunaan bahasa Melayu kerana
usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa dan
untuk menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan akan gagal. Sekiranya kita ingin menjadikan bahasa Melayu
diangkat sebagai bahasa utama dunia siber, bahasa Melayu perlu terlebih
dahulu digunakan di IPTS. Jika tidak, cita-cita ini hanya akan menjadi
omong-omong kosong dan akan tinggal impian semata-mata. Inilah masa
yang sesuai untuk memperkenalkan bahasa Melayu terutamanya di peringkat
institusi pengajian tinggi kepada pelajar dari negara luar. Dengan
bersikap proaktif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang
dihormati oleh warga dunia maka kita harus mendaulatkannya di dalam dan
di luar negara.
Juriah Long (1996) dalam kertas kerjanya yang bertajuk Pendidikan
bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa dalam era industrialisasi dan
globalisasi telah menyatakan bahawa ahli profesional dan teknokrat dari
luar negara yang bertugas di negara ini perlu berkomunikasi dalam bahasa
Melayu dengan pekerja mereka. Oleh itu, mereka perlu juga mempelajari
bahasa Melayu sebagai bahasa asing dan oleh sebab timbulnya
keperluan-keperluan baru bagi menghadapi era industrialisasi dan
globalisasi ini maka sewajarnyalah bahasa Melayu digunakan sebagai
bahasa penghantar di IPTS negara ini.
Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf
keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa
Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Dalam hal ini, kita sedia maklum
bahawa institusi pengajian tinggi merupakan institusi yang menjunjung
ciri-ciri keilmiahan sama ada dari aspek pengajaran dan pemelajaran
mahupun dari aspek penyelidikan. Universiti memainkan peranan utama
dalam penyelidikan dan sewajarnyalah bahasa Melayu digunakan agar dapat
mengangkat martabat dan kemampuan bahasa Melayu itu sendiri
memperkatakan hal-hal yang lebih abstrak secara tepat dan tegas.
Akta Pendidikan 1961 yang memberikan fokus utama mengembangkankan
pendidikan melalui bahasa kebangsaan sebagai medianya dan menggantikan
bahasa Inggeris telah berjaya (Abdul Ghani Awang 1997). Akta tersebut
memainkan peranannya selama tiga dekad setengah dan didapati mampu
melaksanakan matlamat dan falsafah dasar pendidikan negara. Kejayaan
demi kejayaan telah dicapai dan Malaysia diakui sebagai sebuah pusat
kecemerlangan ilmu dengan menggunakan dan menempatkan bahasa Melayu
dengan sewajarnya. Oleh itu, tidak perlu wujud kurang keyakinan dalam
menggembleng dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di
IPTS seperti yang dilakukan sebelum ini. IPTS yang baru muncul tidak
wajar diberikan kelonggaran semata-mata untuk memberikan peluang dan
kesempatan kepada bahasa asing mengambil tempat.
Bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar pendidikan selama ini telah banyak membawa kemajuan
kepada pembangunan negara dan dapat menerapkan perpaduan di kalangan
rakyatnya. Oleh itu, wajarlah keyakinan dan kepercay
aan kepada kemampuan bahasa Melayu diteruskan dalam sistem pendidikan
negara.
Pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing sebenarnya telah lama
dijalankan di institusi pengajian tinggi di negara ini.
Menurut Azhar
Ab. Wahab dan Noor Ida Ramli (1997), Jabatan Pengajian Melayu Institut
Teknologi Mara mula memperkenalkan kursus bahasa Melayu sejak tahun 1972
lagi kepada pelajar Kajian Sebaran Am dan kursus-kursus diploma yang
lain. Malah kursus bahasa Melayu bagi sekumpulan 25 orang jurutera
syarikat Esso Production Malaysia Inc., Kerteh Terengganu telah
dijalankan oleh ITM cawangan Pahang. Begitu juga halnya dengan
pengalaman Universiti Kebangsaan Malaysia (Abu Bakar Hj. Ibrahim dan
Asma Yussof 1994) dan Universiti Sains Malaysia (Mashudi Kader 1996).
Keadaan ini menunjukkan kemampuan dan keperluan bahasa Melayu sebagai
bahasa pemelajaran dan juga bahasa keilmiahan khususnya di IPT
tempatan.
Martabat bahasa Melayu di IPT sebenarnya telah menunjukkan kemampuan
dan keberkesanannya. Hal ini diperkuat apabila bahasa Melayu diajarkan
dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di Australia, di New
Zealand, dan di Amerika Utara, di samping diteliti dan diajarkan di
rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara (Ismail Hussein 1995).
Dalam hal ini, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi bahasa
antarabangsa. Universiti islam Antarabangsa sebagai sebuah institusi
pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
penghantar utama dan bahasa Arab sebagai bahasa penghantar kedua (Awang
Sariyan 1995) juga telah menjalankan usaha-usaha memartabatkan bahasa
Melayu untuk nantinya diangkat sebagai bahasa penghantar.
Hal ini
demikian kerana universiti ini disertai oleh pelajar dari dalam negara
dan negara luar. Malah Awang Sariyan (1995) turut menyarankan supaya
bahasa Melayu diwajibkan di kalangan anak-anak warganegara asing yang
belajar di sekolah-sekolah antarabangsa.
Peranan IPT dalam meningkatkan martabat bahasa Melayu sebenarnya sangat
penting. Hal ini demikian kerana bidang penyelidikan dijalankan di
universiti terutamanya tentang bahasa Melayu. Penyelidikan dijalankan
dengan menggunakan bahasa Melayu dan sekali gus membantu meningkatkan
martabat bahasa Melayu itu sendiri. Menurut Mohd. Tajudin Abdul Rahman
(1996), aktiviti penyelidikan merupakan sesuatu yang dapat membawa
kepada pengembangan dan perubahan.
Dengan kata lain, apabila bahasa
Melayu digunakan sebagai bahasa penyelidikan, hal ini akan dapat
meningkatkan status dan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Berdasarkan
hakikat ini, maka wajarlah bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa
penghantar di IPTS.
Kecenderungan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
di IPTS juga berkait rapat dengan persepsi kita tentang kemampuan
bahasa Melayu sebagai bahasa akademik di universiti. Pada tanggal 6 Mei
1995, kerajaan telah menyatakan bahawa:
“Kerajaan hari ini mengambil keputusan membenarkan penggunaan bahasa
Inggeris di institusi pengajian tinggi bagi tujuan meningkatkan ilmu
dalam bidang sains dan teknologi … Langkah ini perlu bagi memastikan
pencapaian dan penyertaan rakyat dalam pelbagai bidang dalam proses
menjayakan negara”
(Mingguan Malaysia 7 Mei 1995)
Kenyataan di atas jelas menunjukkan ketidakyakinan terhadap kemampuan
bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu, lebih-lebih lagi dalam
bidang sains dan teknologi. Dalam hal ini Abdul Hamid Mahmood (1996)
mengatakan bahawa persoalan mampu atau tidak mampunya bahasa Melayu
berfungsi sebagai bahasa akademik terletak pada pendukung atau pengguna
bahasa itu sendiri. Abdul Hamid Mahmood menambah bahawa selepas tiga
belas tahun bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar ilmu di
universiti-universiti, kesangsian terhadap kemampuan bahasa Melayu
sebagai bahasa akademik mula dipersoalkan.
Meletakkan status atau martabat bahasa Melayu bermakna meletakkan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu dan membina budaya berbahasa Melayu.
Sehubungan dengan itu, Tajul Ariffin Noordin (1991) pernah menyarankan
supaya diadakan usaha memperkembangkan dan memperkaya penyelidikan asli
karya-karya dalam bahasa Melayu dalam semua bidang. Menurut beliau lagi,
seluruh spektrum ilmu perlulah diselidiki dan ditulis semula dalam
bentuknya yang asal daripada sudut falsafah. Sekiranya kita tidak berani
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di IPTS, bermakna
wujud krisis keyakinan masyarakat negara ini terhadap penggunaan bahasa
Melayu.
Sebenarnya, pelbagai seminar dan persidangan telah dianjurkan oleh
badan-badan bahasa dan pihak-pihak yang berkenaan bagi memartabatkan
bahasa Melayu. Persatuan Linguistik Malaysia dengan kerjasama Dewan
Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Seminar Tamadun Berbahasa Melayu
Menjelang Tahun 2020. Seminar ini telah mengutarakan lima resolusi yang
antara lain menyatakan bahawa bahasa Melayu telah diterima secara sah
dalam dokumen-dokumen perundang-undangan negara sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu.
Mangantar Simanjuntak (1995) mengatakan bahawa pemelajaran bahasa
Inggeris bukan menjadi matlamat utama sistem pendidikan kita. Bahasa
Inggeris hanyalah cara untuk memperoleh pengetahuan dan untuk mencapai
matlamat yang lain. Menurutnya lagi, kualiti sistem pendidikan kita
tidak seharusnya diukur berdasar pada kecekapan kita dalam bahasa
Inggeris atau sama ada kita mampu atau tidak mampu bertutur dengan fasih
dalam persidangan antarabangsa. Tambahnya lagi, bahasa asing tidaklah
terlalu sukar dipelajari jika kita bersungguh-sungguh mempelajarinya.
CADANGAN DAN KESIMPULAN
Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan harus
dikembalikan. Bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa
perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat mewujudkan
persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di negara ini. Faktor
ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah maka
negara dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang ini.
Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan di IPTS
sangat wajar. Keraguan dari segi kemampuan bahasa Melayu untuk
mengungkapkan hal-hal yang berkait dengan sains dan teknologi
terutamanya perlu dihapuskan dengan usaha pengintelektualan bahasa
Melayu dalam bidang tersebut supaya kewibawaan dan martabat bahasa
Melayu dapat dipertahankan. Semua pihak mestilah diyakinkan bahawa
ketekalan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan
tinggi amat penting bagi menjamin kelangsungan negara dan bangsa
Malaysia.
Usaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan dunia dan era globalisasi, melalui bahasa penghantar yang
sesuai perlu juga difikirkan. Oleh sebab bahasa Melayu sudah diajarkan
di pelbagai universiti di dalam dan di luar negeri, maka usaha memenuhi
keperluan ini tidaklah terlalu sukar.
Selain keperluan berkenaan, kempen, konvensyen, seminar, dan
persidangan yang meluas di kalangan rakyat perlu diadakan bagi
menanamkan keyakinan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar pendidikan. Keyakinan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar pendidikan. Keyakinan tentang kedudukan, martabat,
dan wibawa bahasa Melayu perlu terus ditanam, dipupuk, dibina, dan
ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Sememangnya kita senantiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk
meningkatkan daya saing, ketahanan, kekreatifan, dan kecemerlangan
bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan terutamanya. Pihak
swasta harus disedarkan bahawa tujuan menguasai bahasa Inggeris cuma
untuk menjadi alat menimba dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Yang lebih
penting, bagi membina tamadun bangsa dan negara, kita memerlukan bahasa
Melayu yang dapat tumbuh, bertapak, dan berakar umbi di hati sanubari
rakyat negara ini.
Saranan supaya digugurkan Fasal 17 dalam AP dan Fasal 41 Akta IPTS 1996
dan menggugurkan dasar yang membenarkan bahasa Inggeris, Cina, dan
Tamil digunakan sebagai bahasa penghantar di sekolah dan di universiti
wajar dibuat. Peruntukan ini seolah-olah menunjukkan adanya krisis
keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
pendidikan yang telah kita bina selama ini. Jika tidak, akan wujud di
sebelah pihak untuk membina bahasa Melayu manakala pada pihak yang di
sebelah lagi berusaha untuk meruntuhkan atau menghakisnya.
Martabat dan status bahasa Melayu perlu dipertahankan dan yang akan
mempertahankannya atau tidak adalah kehendak kita sendiri. Dalam usaha
kita membina, tidak perlu ada usaha meruntuh supaya segala usaha kita
tidak akan menjadi sia-sia. Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan agar
tidak pupus. Bahasa Melayu perlu terus dikembangkan supaya tidak hilang
di dunia ini serta dapat mencerminkan bangsa kita.